Tuesday 8 November 2011

Buah Durian

Durian yang digelar ‘Raja Buah’ ialah buah tropika yang besar saiznya, berduri tajam dan mempunyai isi yang lazat rasanya. Satu ciri unik Raja Buah ini ialah baunya yang kuat. Walau bagaimanapun, buah ini paling digemari penduduk Asia Tenggara kerana kelazatan isinya. Durian dipercayai berasal dari kepulauan Borneo dan kini penanamannya tidak sahaja tersebar luas hampir di seluruh negara Asia yang beriklim khatulistiwa tetapi juga di beberapa kawasan di Australia. Negara pengeluar durian yang utama ialah Thailand, Malaysia dan Indonesia. Durian biasanya dimakan terus tetapi buah ini juga boleh dimakan dengan pulut dan santan. Selain itu, durian boleh diproses menjadi lempuk, kandi, serbuk durian dan tempoyak. Durian mengandungi karbohidrat protein, lemak, kalsium dan vitamin A dan C yang tinggi.
Pokok durian besar, iaitu tingginya mencapai 35 – 45 m tetapi pokok durian yang dibiakkan secara tampang bersaiz kecil, iaitu 10 – 15 m tinggi. Kebanyakan pokok yang berasal daripada biji mempunyai banir di pangkalnya. Daun durian jenis mudah dan berbentuk bujur panjang, iaitu 6 – 12 cm panjang dan 2 – 4 cm lebar. Tangkainya bersinus dan panjangnya kira-kira 1 cm.
Permukaan atas daun berwarna hijau tua berkilat. Bunga dikeluarkan dalam jambak, setiap jambak mengandungi 40 – 50 kuntum bunga. Kudup bunganya berbentuk bulat dan ditutupi epikaliks. Kelopak bunganya lima, berbentuk sesudu dan berwarna putih atau putih kekuningan. Salut bunganya bercuping 4-6 dan bercantum di pangkal. Stamennya banyak, berbentuk berkas dan benang sarinya panjang (3-5 cm). Di hujungnya terdapat stigma yang bulat berwarna jingga.


Buah durian besar iaitu bergaris pusat 18 – 20 cm dan berbentuk bulat atau kira-kira 3 – 6 cm panjang. Buahnya mempunyai lima pangsa, setiap pangsa mengandungi 1 – 6 ulas isi. Isinya berwarna putih kuning atau kuning keemasan bergantung pada jenis.Tekstur aroma, rasa dan ketebalan isinya juga berbeza-beza bergantung pada jenis atau klon. Bijinya bujur panjang dan berwarna perang muda hingga coklat. Kulitnya tebal dan berduri tajam. Warna kulitnya hijau atau hijau kekuningan. Tangkainya berbentuk silinder.
Durian ialah sejenis buah-buahan bermusim. Pokoknya berbunga dan berbuah satu atau dua kali setahun. Musim bunga utama ialah pada bulan Mac hingga April dan buah-buah masak dan gugur pada bulan Jun hingga September. Musim bunga kedua ialah pada bulan Ogos hingga September dan buah gugur pada bulan Disember. Pokok durian yang berasal daripada biji berbunga 8-10 tahun selepas ditanam, manakala pokok yang dibiakkan secara tampang berbunga 5-6 tahun selepas ditanam. Teknik pembiakan tampang yang popular di kalangan petani ialah cantuman mata tunas. Selain itu, cantuman baji dan sandingan juga boleh digunakan. Pembiakan tampang digalakkan berbanding biji untuk mendapatkan saiz pokok yang kecil dan mengekalkan ketulenan baka.



Sumber : http://buahbuahan.com/2011/07/buah-durian/

No comments:

Post a Comment