Tuesday 8 November 2011

Buah Durian Belanda


Durian belanda tergolong dalam famili Annonaceae dan berasal dari Amerika Tengah. Buah durian belanda berasa masam manis dan boleh dimakan terus. Namun demikian, buah ini kian meningkat popular masa kini kerana boleh dijadikan jus yang lazat rasanya. Isinya yang berwarna putih tidak sahaja kaya dengan jus tetapi juga mempunyai aroma yang harum dan unik. Kandungan vitamin C dalam buah durian belanda sederhana. iaitu 24.0 mg/100 g.
Kandungan kalsium, fosforus dan kalium dalam buah ini agak tinggi, Pokok durian belanda kecil iaitu tingginya 5 – 8 m dan berdahan banyak. Daun-daunnya lebat dan sentiasa menghijau. Permukaan atas daunnya hijau tua dan berkilat, sementara permukaan bawahnya hijau muda kekuningan dan lebih pucat. Daun-daun ini berbau masam dan beraroma kuat terutamanya apabila diramas.




Bunga durian belanda ialah jenis lengkap atau hermafrodit iaitu mengandungi stamen dan stigma. Bentuk bunganya agak unik dan menarik kerana mempunyai sepal dan petal. Sepalnya tiga, berwarna hijau tua dan berukuran 0.3 – 0.5 cm lebar. Petalnya enam dan tersusun dalam dua barisan, yang sebelah luar tebal, besar dan berwarna hijau tetapi bertukar kepada kuning pucat Panjangnya 3.5 cm dan lebarnya 2 – 4 cm. Petal yang di sebelah dalam lebih kecil dan tersusun berselang dengan yang di luar Panjangnya 2 – 4 cm dan lebarnya 1.5 – 35 cm. Keseluruhan bunga berbau kuat Bunga durian belanda boleh terbentuk di batang, dahan dan di hujung ranting.
Buah durian belanda ialah jenis majmuk komposit, iaitu terbentuk daripada cantuman anak-anak buah. Bentuk buahnya bujur dan biasanya agak melengkok. Warnanya hijau tua dan dihiasi duri-duri yang pendek dan lembut Buah yang matang panjangnya 15 – 35 cm dan lebarnya 10 – 15 cm. Isinya lembut dan berjus serta beraroma. Di dalam isi yang lembut ini terdapat 30 – 100 biji yang berwarna hitam dan berkilat.



Sumber: http://buahbuahan.com/2011/07/buahdurian-belanda/

No comments:

Post a Comment