Monday 24 October 2011

Buah Nangka


Nangka ialah sejenis buah-buahan tropika yang terdapat di Malaysia, Indonesia, Thailand, Burma, India, Bangladesh, Sri Lanka dan Filipina. Tanaman ini kebanyakannya ditanam dalam dusun campuran di sekitar rumah walaupun telah ada usaha untuk menanamnya secara komersil. Isinya manis, berjus dan biasanya dimakan terus. Buah nangka boleh juga ditinkan dan diawet sebagai buah kering. Isinya banyak mengandungi vitamin A iaitu karotena (110 mg/100 g). Bijinya mengandungi protein, lemak dan karbohidrat dan boleh dimakan setelah direbus. Buah yang muda pula boleh digulai.
Nangka ialah sejenis tumbuhan saka monoesius dalam famili Moraceae. Pokok nangka tumbuh dengan cepat dan boleh mencapai ketinggian 20 m. Kesemua bahagian tumbuhannya mengeluarkan getah berwarna putih. Tanaman ini bersifat kauliflori, iaitu mengeluarkan bunga dan buah pada batang. Bunga jantan terdapat pada jambak spika yang di keluarkan di hujung ranting yang kecil. Bunga-bunga ini kecil, tersusun padat dan dibaluti debu kuning, iaitu stamen. Bunga betina pula berbentuk kiub tiub dan tedapat pada jambak spika. Jambak dikeluarkan dalam bentuktunggal atau berpasangan pada tunas berdaun yang tumbuh pada batang utama atau sekunder. Jambak bunga betina lebih besar daripada jambak bunga jantan.
Buah nangka ialah jenis majmuk sinkarpa, iaitu terbentuk daripada anak buah atau disebut’ulas’yang banyak. Ulas atau anak buah ini terbentuk daripada karpel yang banyak dan bercantum. Klon nangka yang telah didaftar dan ditanam oleh petani ialah J29, NSI dan J31. Pokok nangka berbuah tidak begitu mengikut musim. Buahnya boleh didapati hampir sepanjang tahun tetapi kemuncak pengeluarannya ialah dua kali setahun, iaitu pada bulan Jun hingga Julai dan Disember hingga Januari. Pokok nangka boleh dibiakkan dengan mudah dan klon-klon yang baik dikekalkan dengan teknik cantuman mata tunas.

No comments:

Post a Comment